Thursday, 24 November 2011

Nenek Dan Kucing-Kucingnya

Di Kampung Pinang Sebatang tinggal seorang nenek yang tinggal keseorangan. Tiada anak atau cucu untuk dijadikan penyambung zuriat. Penemannya siang dan malam adalah kucing-kucing peliharaanya. Teratak yang didiami juga agak uzur seperti usia nenek tersebut. Nenek tersebut dipanggil Nek Mah dikalangan penduduk kampung. Sikap menyayangi terhadap kucing-kucing menyebabkan Nek Mah akan mengutip kucing-kucing terbiar yang dijumpai olehnya.

Oleh kerana usia yang sudah lanjut usianya, tidak banyak kerja yang boleh dilakukan untuk menampung perbelanjaannya dan kucing-kucing belaannya. Makan minumnya hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Rezeki yang sedikit itu dikongsi dengan kucing-kucing peliharaannya. Tiada rezeki buatnya tidak mengapa tetapi bila kucing-kucingnya mengeow meminta makanan dan tiada apa yang mampu disajikan buat mereka, pasti mengalir airmata tuanya. Terasa amat sedih kerana tidak mampu memberi makan kucing-kucingnya yang dianggap seperti anaknya sendiri.

Bukan kadang-kadang tetapi selalu Nek Mah meminta belas ihsan jiran-jirannya dan jiran-jirannya tak pernah lokek untuk menyedekahkan beras seperti biasa untuk Nek Mah dan kucing-kucingnya. Hari berganti tapi sudah beberapa hari Nek Mah tidak muncul di rumah jiran-jirannya. Jiran tetangga mula bertanya, kemanakah Nek Mah pergi? Untuk mendapatkan jawapan diatas persoalan itu, beberapa jiran Nek Mah pergi menyusul ke teratak Nek Mah di Hilir Kampung. Dari jauh terdengar bacaan surah Yassin sayup-sayup dari rumah Nek Mah. Berdetik dihati jiran-jiran Nek Mah. Apakah yang terjadi pada Nek Mah sebenarnya, sakitkah dia?.

Sampai di teratak Nek Mah, Jiran-Jirannya memberi salam tapi tiada jawapan. Masing-masing menjenguk kedalam teratak tersebut dan alangkah terkejutnya mereka kerana Nek Mah yang dicari sebenarnya telah pergi menyambut panggilan Ilahi dan masing-masing memandang satu sama lain sebab tiada seorang manusia pun disitu melainkan mayat Nek Mah yang dikelilingi kucing-kucing belaannya. Bahkan mayatnya diletakkan ditengah rumah, dikiamkan serta ditutup dengan eloknya seperti ada orang yang berbuat demikian. Siapakah yang membacakan surah Yassin yang mereka semua dengar tadi dan siapa yang menjaga mayat Nek Mah sebelum ketibaan mereka?. Allahualam...

Jenazah Nek Mah disempurnakan dengan segera. Dimandikan, dikafankan, dikebumikan serta  ditalkinkan. Setelah bacaan talkin sudah siap dibaca dan masing-masing berangkat berlalu dari tanah perkuburan tersebut, kucing-kucing belaan Nek Mah yang mengikuti jenazah Nek Mah dari teratak ke tanah perkuburan tadi mulai mengelilingi kubur Nek Mah. Tak siapa tahu mengapa kucing-kucing tersebut berbuat demikian tetapi bila penduduk kampung menoleh sekali lagi ke kubur Nek Mah dipintu keluar tanah perkuburan tersebut, tiada seekor kucingpun yang kelihatan. Maha Besar Allah, kemana menghilangnya kucing-kucing tersebut?

No comments:

Post a Comment