Sunday, 11 December 2011

Dihalau Bapa Tiri (1)

Aku dengan abang aku memang selalu dihalau bapa tiri kami. Sebab aku dan abg aku kecil masa tu, walaupun kami dihalau kami tetap tak berambus dari rumah tu. Tetap juga berlegar-legar keliling rumah ataupun duduk didepan pagar, paling terukpun menumpang dirumah jiran sehingga bapa tiri kami tu tidur, barulah kami masuk kerumah.

Kami tak tahu mengapa kami dilayan dengan teruk oleh bapa tiri kami tu. Ibu mengahwini bapa tiri kami setelah beberapa tahun ayah meninggal dunia. Sudahlah adik beradik tiri kami bencikan kami, bapa tiri kami pun dua kali lima aje. Petang tu sebab terlampau asyik bermain dibelakang rumah kami balik lewat dari biasa, bukanlah lewat sangat pun, adalah dalam pukul 6 petang. Entah hantu mana yang merasuk bapa tiri kami ari tu, kami dihalau keluar rumah lagi kali ini. Yang lebih parah sepupu tiri kami pun jadi mangsa sekali. Join the club.

Umur aku masa tu baru 6 tahun dan abang aku 9 tahun. Sebab tak tau nak pergi kemana, abang aku dan sepupu tiri kami tu duduk didepan pintu pagar sementara aku duduk mencangkung di tepi jalan. Jarak antara kami bukannya jauhpun, adalah dalam 8 kaki aje. Waktu tu kedengaran azan maghrib berkumandang dari surau berdekatan. Dari kejauhan ku lihat seorang lelaki tua berkopiah putih, berbaju melayu dan berkain pelikat mengayuh basikal dari arah kanan jalan. Pasti pakcik ni nak ke surau, kata hatiku sebab pakcik tu baru lalu depan aku dan menuju kearah surau.

Selepas pakcik tersebut berlalu, kedengaran abang aku dan sepupu tiri aku tu memanggil aku.
"ppsst...psst.."
"Apa psst..psst?"
"Apasal mu duduk situ , marilah duduk sini, mu tak takut ke?"
"Takut apa? Tengok org tua naik basikal pergi surau pun takut ke?"
"Eh..bukan orang tualah, poconglah baru lalu depan mu tu bodo"
"pocong kebendenya, pakcik tu pakai kopiah, baju melayu dengan kain pelikat lah"
"Eii bodo.. poconglah baru lalu.. terlompat-lompat lagi. kitaorang nampak. marilah sini"
"Bengong mu ni, pakcik tu pakai kain pelikat kotak-kotak lagi, mana ada pocong"
"Suka atimu ah, kalau mu nak duduk sana, mu duduk ah"

Sampai ke hari ini aku masih tak pasti. Adakah pocong yang lalu sambil terlompat-lompat didepan aku ataupun orang tua yg lengkap berpakaian seperti yang aku nampak. Allahualam..

No comments:

Post a Comment