Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts

Friday, 30 December 2011

Dihalau Bapa Tiri (2)

Dah tau ada bapa tiri yang macam singa lapar, aku dan abang aku buat hal lagi. kami lewat balik lagi petang ni. Kesudahannya macam biasa, kami dihalau kali entah ke berapa dan dengan muka tak malunya kami masih berlegar diperkarangan rumah kami walaupun tak boleh masuk ke rumah sebab pintu dan tingkap semuanya dah dikunci tadi.

Banyaklah pula nyamuk kat luar rumah maghrib-maghrib ni. Apalah kami nak buat, perut dahlah berkeroncong. Kalau duduk kat serambi nanti tertidur pulak. Mak aku kata, tak elok tidur maghrib macam ni. Hah..kami ronda ajelah kat dalam kawasan pagar rumah ni. Boleh juga buang masa dari duduk tercangguk aje. Lagipun kawasan rumah bapa tiriku ni agak besar juga dalam 1 1/4 ekar.

Sedang kami bertiga merayau-rayau. Oh terlupa pula nak bagitau, kali ini sepupu kami pun sekapal dengan kitaorg kerana sebab dialah kitaorg balik lambat. Rayau punya rayau, kami terdengar satu suara parau. Suara binatang. Yang pasti bukan suara kambing atau lembu. Kami bertiga terjengah-jengah cuba mengenalpasti suara apakah itu. Tiba-tiba, dari hujung semak di depan rumah kami terlihat satu binatang seakan beruang tapi bukan beruang menuju kearah kami.

Kami pun apa lagi, ambil langkah seribu. Oppss. bukan kami tapi abang aku dan sepupu aku. dan aku yang berumur 6 tahun tercicir di belakang.

"Cepat Ta, panjat pokok tu"Suara abangku kedengaran.

Rupa-rupanya dia sedang memeluk sebatang pokok kelapa didepan rumah sementara sepupuku dah duduk mencangkung di dahan pokok mangga. Aku pun terus memanjat pokok mangga sambil menangis sebab aku tau paras ketinggian yang dipanjat oleh aku mampu dicapai oleh binatang tersebut.

"tak boleh panjatlah, tariklah aku"

"mu cuba naik lagi, cepat Ta, bahaya tu.."

"aku kata tak boleh, tak bolehlah bengong" kataku sambil menangis


Nasib aku baik sebab binatang seakan beruang itu tidak menuju kearah aku sebaliknya menuju kearah pintu belakang rumah kami. Dari arah kami menyorok dapat kami lihat binatang tersebut berdiri dan mencakar-cakar pintu belakang. Lama juga kami lihat ia mencakar pintu belakang rumah. Adalah dalam 10-15min.

Kemudian ia memusingkan badannya dan berlari menuju kearah kami dan aku bernasib baik kali kedua, bila binatang tersebut terus berlari kearah semak-semak di tepi pagar rumah kami. Pelik sungguh kami bertiga. Pagar rumah sudah ditutup, bagaimana binatang itu masuk dan apakah binatang tersebut. Nak kata beruang, bukan beruang. Lebih kurang 1 jam selepas kejadian itu, kami perlahan-lahan turun dari pokok dan berlari kearah serambi didepan rumah dan pintu depan hanya ibu kami buka pada pukul 11.00 malam selepas bapa tiriku tidur.

Wednesday, 28 December 2011

Kisah Nenek Pemungut Daun

Dahulu di sebuah kampung, ada seorang nenek tua penjual bunga. Ia menjual bunganya di pasar. Jaraknya rumahnya ke pasar agak jauh dan sdah menjadi kebiasaan pada nenek tersebut berjalan kaki saban hari.

Selesai berjualan, ia akan singgah di masjid di pekan tempatnya tinggal, ia berwudhu, masuk masjid, dan melakukan solat zuhur.
Setelah membaca wirid sekadarnya, ia keluar dari masjid dan membongkok-bongkok di halaman masjid. Rupanya ia mengumpulkan dedaunan yang berteraburan di halaman masjid.
Sehelai demi sehelai dikutipnya. Tidak satu helaipun yang tertinggal. Sudah pasti agak lama dia membersihkan halaman masjid dengan cara itu. Sedangkan sinaran matahari di waktu itu panas membahang. Peluh tuanya membasahi seluruh tubuhnya. Ramai pengunjung masjid jatuh hiba melihatkannya.

Pada suatu hari  Bilal masjid memutuskan untuk membersihkan dedaunan itu sebelum perempuan tua itu datang. Pada hari itu, ia datang dan langsung masuk masjid. Seperti biasa selepas solat, ketika ia ingin melakukan pekerjaan rutinnya, ia terkejut.Tidak ada satu pun daun yang berselerak di situ. Ia masuk ke dalam masjid dan menangis teresak-esak. Dalam keadaan teresak-esak dia bertanyakan bilal masjid tersebut, mengapa daun-daun itu sudah disapukan sebelum kedatangannya.Bilal menjelaskan padanya bahawa mereka kasihan kepadanya dan nenek itu menjawab,

“Jika kasihankan aku. Berikan kebenaran untukku membersihkannya seperti biasa.”
Jawapan dari nenek tersebut membuatkan bilal tersebut terdiam.

Dipendekkan cerita, sejak hari itu nenek itu dibiarkan mengumpulkan dedaunan itu seperti biasa.
Seorang alim di pekan tersebut diminta untuk menanyakan kepada perempuan itu mengapa ia begitu bersemangat membersihkan dedaunan itu.


Perempuan tua itu menjelaskan sebabnya dengan dua syarat, pertama, hanya orang alim itu seorang sahaja yang boleh tah kenapa dia berbuat demikian dan, kedua, rahsia itu tidak boleh disebarkan ketika ia masih hidup.

Sekarang ia sudah meniggal dunia, dan inilah yang diperkataan kepada orang alim tersebut:-
“Saya ini perempuan bodoh, ustaz,” tuturnya.
“Saya tahu amalan saya yang kecil itu mungkin tidak disempurnakan dengan cara yang betul. Saya tidak mungkin akan selamat pada hari akhirat tanpa syafaat Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam.
Setiap kali saya mengambil selembar daun, saya ucapkan satu selawat kepada Rasulullah. Kelak jika saya mati, saya ingin Nabi junjungan kita menjemput saya.Biarlah semua daun itu bersaksi bahwa saya membacakan selawat kepadanya.”

Perempuan tua dari kampung itu bukan saja mengungkapkan cinta Rasul dalam bentuknya yang tulus. Ia juga menunjukkan kerendahan hati, kehinaan diri, dan keterbatasan amal dihadapan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Lebih dari itu, ia juga memiliki hati yang luhur. Ia tidak menganggapkan mudah amalannya. Ia sangat bergantung pada rahmat Allah. Dan siapa lagi yang menjadi rahmat semua alam selain Rasulullah saw.

Monday, 12 December 2011

Bapa tiri yang zalim

Aku dan abgku tak pernah dilayan sebagai seorang anak kepada bapa tiriku. Ada saja silap kami dimatanya. Petang itu aku bermain dengan si comel, anak kucing kesayanganku yang berusia sebulan setengah. Si comel gemuk dan pendek mungkin sebab kuat minum susu kot, itulah sebabnya kadang2 aku lihat perutnya pun dah jejak ke lantai. Tengah aku bermain2 dengan si comel, datang ayah tiriku merampas si comel dari tanganku. Dilambungnya sicomel ke udara. Terkejut aku dengan tindakannya tapi apakah yang mampu ku lakukan. Kalau aku berkata sesuatu pasti aku pula yg menjadi mangsa selepas si comel.

Sicomel jatuh ke tanah, mengelepar kesakitan. Hanya Allah yg tahu betapa sedihnya aku disaat itu. Kalaulah sicomel jatuh ke lantai tadi tentu kepala si comel dah pecah. Kemudian kedengaran suara bapa tiriku berbunyi seakan petir.

"Hah, apa yg tercengang2 lagi tu, pergilah ambil air, bagi kat kucing tu" ku lihat wajah bapa tiriku seperti org yg terkejut bila dilihatnya sicomel masih mengelepar kesakitan.

Aku dengan pantas pergi kedapur dan berlari kearah si comel dan mendukungnya sambil menangis dan menuangkan air kemulutnya. kesian si comel.

"Maafkan aku si comel, kalau bukan sebab kau kucing kesayangan aku tentu kau tak menerima nasib seperti ini. Maafkan aku si comel, aku bersalah pada kau" kataku dalam tangis yang masih memeluk si comel.

Aku ingat si comel akan meninggalkan aku pada ari tu tapi Allah yang menentukan segalanya. Sicomel masih hidup sehingga sekarang, walaupun sudah dikategorikan sebagai kucing warga emas tetapi ayah tiriku yang dijemput Ilahi dulu rupanya.

Sunday, 11 December 2011

Dihalau Bapa Tiri (1)

Aku dengan abang aku memang selalu dihalau bapa tiri kami. Sebab aku dan abg aku kecil masa tu, walaupun kami dihalau kami tetap tak berambus dari rumah tu. Tetap juga berlegar-legar keliling rumah ataupun duduk didepan pagar, paling terukpun menumpang dirumah jiran sehingga bapa tiri kami tu tidur, barulah kami masuk kerumah.

Kami tak tahu mengapa kami dilayan dengan teruk oleh bapa tiri kami tu. Ibu mengahwini bapa tiri kami setelah beberapa tahun ayah meninggal dunia. Sudahlah adik beradik tiri kami bencikan kami, bapa tiri kami pun dua kali lima aje. Petang tu sebab terlampau asyik bermain dibelakang rumah kami balik lewat dari biasa, bukanlah lewat sangat pun, adalah dalam pukul 6 petang. Entah hantu mana yang merasuk bapa tiri kami ari tu, kami dihalau keluar rumah lagi kali ini. Yang lebih parah sepupu tiri kami pun jadi mangsa sekali. Join the club.

Umur aku masa tu baru 6 tahun dan abang aku 9 tahun. Sebab tak tau nak pergi kemana, abang aku dan sepupu tiri kami tu duduk didepan pintu pagar sementara aku duduk mencangkung di tepi jalan. Jarak antara kami bukannya jauhpun, adalah dalam 8 kaki aje. Waktu tu kedengaran azan maghrib berkumandang dari surau berdekatan. Dari kejauhan ku lihat seorang lelaki tua berkopiah putih, berbaju melayu dan berkain pelikat mengayuh basikal dari arah kanan jalan. Pasti pakcik ni nak ke surau, kata hatiku sebab pakcik tu baru lalu depan aku dan menuju kearah surau.

Selepas pakcik tersebut berlalu, kedengaran abang aku dan sepupu tiri aku tu memanggil aku.
"ppsst...psst.."
"Apa psst..psst?"
"Apasal mu duduk situ , marilah duduk sini, mu tak takut ke?"
"Takut apa? Tengok org tua naik basikal pergi surau pun takut ke?"
"Eh..bukan orang tualah, poconglah baru lalu depan mu tu bodo"
"pocong kebendenya, pakcik tu pakai kopiah, baju melayu dengan kain pelikat lah"
"Eii bodo.. poconglah baru lalu.. terlompat-lompat lagi. kitaorang nampak. marilah sini"
"Bengong mu ni, pakcik tu pakai kain pelikat kotak-kotak lagi, mana ada pocong"
"Suka atimu ah, kalau mu nak duduk sana, mu duduk ah"

Sampai ke hari ini aku masih tak pasti. Adakah pocong yang lalu sambil terlompat-lompat didepan aku ataupun orang tua yg lengkap berpakaian seperti yang aku nampak. Allahualam..

Thursday, 24 November 2011

Nenek Dan Kucing-Kucingnya

Di Kampung Pinang Sebatang tinggal seorang nenek yang tinggal keseorangan. Tiada anak atau cucu untuk dijadikan penyambung zuriat. Penemannya siang dan malam adalah kucing-kucing peliharaanya. Teratak yang didiami juga agak uzur seperti usia nenek tersebut. Nenek tersebut dipanggil Nek Mah dikalangan penduduk kampung. Sikap menyayangi terhadap kucing-kucing menyebabkan Nek Mah akan mengutip kucing-kucing terbiar yang dijumpai olehnya.

Oleh kerana usia yang sudah lanjut usianya, tidak banyak kerja yang boleh dilakukan untuk menampung perbelanjaannya dan kucing-kucing belaannya. Makan minumnya hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Rezeki yang sedikit itu dikongsi dengan kucing-kucing peliharaannya. Tiada rezeki buatnya tidak mengapa tetapi bila kucing-kucingnya mengeow meminta makanan dan tiada apa yang mampu disajikan buat mereka, pasti mengalir airmata tuanya. Terasa amat sedih kerana tidak mampu memberi makan kucing-kucingnya yang dianggap seperti anaknya sendiri.

Bukan kadang-kadang tetapi selalu Nek Mah meminta belas ihsan jiran-jirannya dan jiran-jirannya tak pernah lokek untuk menyedekahkan beras seperti biasa untuk Nek Mah dan kucing-kucingnya. Hari berganti tapi sudah beberapa hari Nek Mah tidak muncul di rumah jiran-jirannya. Jiran tetangga mula bertanya, kemanakah Nek Mah pergi? Untuk mendapatkan jawapan diatas persoalan itu, beberapa jiran Nek Mah pergi menyusul ke teratak Nek Mah di Hilir Kampung. Dari jauh terdengar bacaan surah Yassin sayup-sayup dari rumah Nek Mah. Berdetik dihati jiran-jiran Nek Mah. Apakah yang terjadi pada Nek Mah sebenarnya, sakitkah dia?.

Sampai di teratak Nek Mah, Jiran-Jirannya memberi salam tapi tiada jawapan. Masing-masing menjenguk kedalam teratak tersebut dan alangkah terkejutnya mereka kerana Nek Mah yang dicari sebenarnya telah pergi menyambut panggilan Ilahi dan masing-masing memandang satu sama lain sebab tiada seorang manusia pun disitu melainkan mayat Nek Mah yang dikelilingi kucing-kucing belaannya. Bahkan mayatnya diletakkan ditengah rumah, dikiamkan serta ditutup dengan eloknya seperti ada orang yang berbuat demikian. Siapakah yang membacakan surah Yassin yang mereka semua dengar tadi dan siapa yang menjaga mayat Nek Mah sebelum ketibaan mereka?. Allahualam...

Jenazah Nek Mah disempurnakan dengan segera. Dimandikan, dikafankan, dikebumikan serta  ditalkinkan. Setelah bacaan talkin sudah siap dibaca dan masing-masing berangkat berlalu dari tanah perkuburan tersebut, kucing-kucing belaan Nek Mah yang mengikuti jenazah Nek Mah dari teratak ke tanah perkuburan tadi mulai mengelilingi kubur Nek Mah. Tak siapa tahu mengapa kucing-kucing tersebut berbuat demikian tetapi bila penduduk kampung menoleh sekali lagi ke kubur Nek Mah dipintu keluar tanah perkuburan tersebut, tiada seekor kucingpun yang kelihatan. Maha Besar Allah, kemana menghilangnya kucing-kucing tersebut?

Saturday, 29 October 2011

Tudung Sekolah Dikunyah Lembu

Nek, cucu ada cerita lucu masa zaman sekolah. Cucu harap nenek sudi membacanya. Kisah ini adalah pengalaman cucu sendiri ketika bersekolah agama dahulu.

Begini kisahnya nek. Satu pagi tu cucu terbangun lewat, ingat nak ponteng aje sekolah agama tapi mengenangkan ari tu cu ada peperiksaan, cucu tak jadi ponteng. Setelah bersiap2, cucu cari tudung sekolah cucu kat ampai (tempat sidai baju), sebab malam sebelum tu cucu basuh tudung sekolah tu. Cari punya cari tapi tak juga jumpa. Nak kata ada pencuri adalah sesuatu yang tak mungkin sebab sapalah nak curi tudung sekolah cucu tu. Bila tanya pada mak, mak kata dia tak angkat tudung tu dari ampaian. Lah! kemana pula tudung tu hilang?

Untuk pengetahuan nenek, cucu tinggal dirumah kampung. Dalam masa kelam kabut mencari tudung tersebut, anak saudara cucu yang berumur 1 1/2 tahun berkata sesuatu
"Nembu mamam" Dalam fikiran cucu, takkanlah lembu makan tudung sekolah cucu tu tapi pada masa yang sama cucu mencari juga bayang2 lembu dihalaman rumah. Sah! Cucu lihat lembu betina kesayangan ayah sedang mengunyah tudung sekolah cucu tu.. Ahhh...parah. apalagi, cucu pun dengan tergesa-gesa berlari kearah lembu tersebut dan menarik tudung tersebut. Selepas beberapa minit aksi tarik menarik, akhirnya tudung cucu tu berjaya juga diselamatkan tapi malangnya, tudung tersebut sudah koyak disana sini selain sudah renyuk seribu. Tanpa berfikir panjang cucu terus menyarung tudung tersebut kekepala dan terus kesekolah untuk mengambil peperiksaan.

Sesampai disekolah, kawan-2 cucu pelik mengapa tudung cucu berkeadaan seperti itu tapi cucu tak ada masa untuk menjawab soalan mereka kerana kertas soalan sudah mula diedarkan oleh cikgu. Selepas habis masa untuk kertas terbabit cucu terdengar, cikgu memanggil nama cucu dan bertanyakan kenapa tudung cucu berkeadaan seperti itu, Cucu jawablah lembu makan tudung cucu. Apalagi, satu kelas ketawakan cucu... Kemudian cikgu bertanya kenapa cucu tak pakai tudung lain, cucu cakaplah cucu tak sempat nak cari tudung lain dan itulah sebabnya cucu pakai tudung yang sudah renyuk seribu dan koyak rabak. Sekali lagi cucu diketawakan. cikgu cucu suruh cucu ceritakan bagaiman perkara itu terjadi. Bila cucu ceritakan, sekali lagi rakan sekelas cucu gelak sakan... Ada yang menekan2 perut sebab gelihati. Cucu buat muka seposen aje... Naka kata apa lagi..Nasib2, dahlah bangun lambat, tudung sekolah dimakan lembu, kemudian dikettawakan oleh kawan2 sekolah pula....

Friday, 14 October 2011

Tak Jumpa Pusara Nenek dan Moyang

Assalamualaikum nek,
nek, ini kisah yang berlaku pada saya beberapa bulan lepas. Ibu saya meninggal beberapa bulan yang lepas dan sejak itu saya akan menziarahi pusaranya jika saya balik ke kampung. Jika tak balikpun tapi saya melalui kampung saya untuk ke mana-mana saya tak lupa untuk menziarahi pusara ibu walaupun sebentar. Kadang-kadang saya ziarah pusara ibu bersama ayah dan adik-adik. Kalau saya seorang pun saya tetap akan ziarah juga. Jika dah menziarah pusara ibu tak lengkap jika tak menziarahi pusara-pusara ahli keluarga yang lain.

Nak jadi cerita, baru-baru ni saya melalui kampung saya dan sudah menjadi kebiasaan,  saya akan mengambil kesempatan untuk menziarahi pusara ibu tersayang. Ayah meminta saya siramkan air dari bacaan yasin dan ayat-ayat al-Quran lain ke tanah pusara ibu yang telah dibacanya berminggu-minggu yang lepas. Seperti kebiasaanya, setelah membaca surah Yasin, menabur bunga dan menyiram air dipusara ibu saya pergilah kepusara nenek. Malangnya, nama yang tertera adalah Aminah binti Abdullah. Saya berasa pelik sebab saya pasti sangat itu adalah pusara nenek saya. Untuk memastikan bahawa saya tidak bermimpi saya pergi ke pusara moyang saya dan sekali lagi saya terkejut sebab nisan disitu juga tertera nama Aminah binti Abdullah. Saya pergi ke pusara nenek saya semula. Kali ini saya benar-benar pasti bahawa saya tidak bermimpi tadi sebab memang nisan itu tertulis nama Aminah.

Kemudian saya mengucap 2 Kalimah Syahadah, membaca fatihah dan ayat kursi dan saya pergi semula kedua-dua pusara tersebut. Malangnya nama yang tertera di batu-batu nisan itu tetap Aminah. Saya mulai pelik dengan apa yang berlaku dan saya mula memeriksa setiap batu nisan disitu dan setiap batu nisan perempuan tertulis nama yang sama iaitu Aminah kecuali batu nisan ibu saya. Setelah setengah jam mencari dan tak jumpa pusara nenek dan moyang saya, saya pun beredar dari situ. Tiga empat hari kemudian saya balik kerumah dan saya ceritakan apa yang berlaku kepada ayah saya. Ayah saya kata dia terlupa untuk memesan saya membawa air lain untuk disiram ke pusara-pusara lain sebab air yang dia kirim tu memang diniatkan untuk disiramkan ke pusara ibu saya tapi dia tak sangkalah sampai saya takjumpa kubur lain disebabkan niatnya itu.

Begitulah ceritanya nek. Kalau nenek nak siarkan, saya benarkan. Assalamualaikum sekali lagi nek.

Sunday, 9 October 2011

Suami Mualaf Tidak Mahu Mendalami Islam

Nek, saya nak ceritakan sesuatu pada nenek dan saya harap nenek boleh beri pandangan nenek. Saya sudah berkawin 3 tahun dan tidak mempunyai anak. Suami saya seorang mualaf. Dia masuk islam sebab nak kawin dengan saya (dia akuinya baru-baru ini). Agamanya sebelum ini adalah kristian. Beberapa tahun lepas sepatutnya saya yang mengajarnya tentang islam tetapi sebaliknya saya hanyut mengikut budaya hidupnya yang selalu minum dan lain-lain lagi.

Awal tahun ini saya rasa hidup saya kosong dan saya kembali ke laluan saya yang sepatutnya (kembali hidup secara islam, berpuasa, sembahyang. menutup aurat dan lain-lain lagi). Saya minta suami saya pelajari islam melalui perkim. Dia menolak cadangan saya dan dia mahukan saya yang mengajarnya. Permintaannya tidak menjadi masalah buat saya kerana saya memang tahu selok belok agama walaupun tidak terlalu 'expert' ( saya habis sekolah agama cuma tidak melanjutkan pelajaran ke maahad sahaja).

Saya beli buku lengkap berkenaan fardu ain, munakahat, jinayat dlll dan mulai mengajar sedikit demi sedikit. Dia tidak ada masalah untuk menangkap apa yang diajar oleh saya bahkan dia cepat faham. Malangnya apabila saya minta dia menghafal ayat-ayat tertentu ( niat mandi wajib, niat sembahyang, dll). Dia anggukkan kepalanya tapi dia tak menghafalnya. Bila saya tanya dia buat bodoh aje dan cakap dia belum hafal. Saya tahu dia sengaja buat macam tu. Entahlah mungkin untuk buat saya marah atau saja untuk berlengah-lengah. Kalau saya tanya dan cakap banyak kali, saya akan rasa sakit hati dan nak marah dan ini akan membuatkan saya berdosa padanya pula. Kalau saya tak tanya, saya pula berdosa sebab tak ajarnya apa yang patut dia pelajari. Keluarga saya minta saya buat keputusan, samada ingin terus bersamanya dan terus-terusan menanggung dosa sebab dia tidak melaksanakan tuntutan agama ataupun bercerai sahaja. Entahlah nek, saya tak tahu apa nak buat. Tolonglah nek, cakaplah dengan saya apa yang perlu saya buat...

Monday, 3 October 2011

Terima Kasih Allah Kerana Nur Mu

Assalamualaikum. Nama saya Mohd Idham bin Abdullah. Saya berbangsa India dan sudah berkawin. Maaf ya nek, saya kurang pandai berbahasa melayu. Email inipun saya minta isteri saya yang tuliskan. Saya nak cerita dengan nenek bagaimana saya terbuka hati ingin menganut agama islam. Saya harap apa yang saya ceritakan disini menjadi iktibar kepada pembaca nenek nanti.

Ibu dan bapa saya berbangsa india dan beragama buddha. Saya ada 8 adik beradik dan saya anak yang ke4. Sejak dari kecil lagi kami adik beradik sudah dibiasakan untuk bersembahyang dikuil bukan hanya diwaktu perayaan sahaja. Bila meningkat dewasa, banyak kuil yang kami lawati samada didalam negara atau diluar negara. Samaada Pagoda Shwedagon di Yangon, merupakan kuil Buddha tersuci di Burma atau Kek Lok Si, Kuil Buddha di Penang ataupun Kuil tergantung di Datong, China dan lain-lain kuil lagi, semuanya saya pergi.


Pada suatu malam saya rasa resah, tak sedap hati dan macam-macam lagi. Saya tak tau kenapa. Saya bangun dan bersembahyang untuk melegakan perasaan yang kurang senang yang bersarang didalam hati saya itu tapi malangnya perasaan tersebut tak juga hilang. Kesudahannya saya mengambil keputusan untuk ke kuil sahaja. Sudah menjadi kebiasaan bagi kami sekeluarga, kami akan pergi kekuil bila-bila masa sahaja untuk bersembahyang.Kuil yang berdekatan dengan rumah saya adalah Kuil Sri Sundararaja Perumal Devasthanam, Klang. Oleh kerana jaraknya yang tak begitu jauh saya mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja sambil menghirup udara malam. Lagipun jalan yang saya ambil adalah jalan yang biasa saya gunakan untuk ke kuil tersebut.

 Didalam perjalanan kekuil tersebut saya, perjalanan saya terhalang oleh pohon kelapa yang tumbang. Belum sampai ke pokok kelapa tersebut  saya disapa oleh rakan saya. Saya berbual-bual dengan Ramu dan mengatakan kami terpaksa melangkah pokok kelapa yang tumbang. Apabila saya nak memusingkan badan saya pohon kelapa yang tumbang tadi tiada disitu. Bukan tiada tetapi sudah berdiri tegak bukan seperti sebelumnya. Ramu tanyakan pada saya mana pokok kelapa yang tumbang tu, saya katakan padanya pokok kelapa disebelah perigi itulah yang tumbang tadi. Ramu ketawakan saya, dia kata saya bermimpi sebab pokok kelapa itu terpacak seperti biasa aje. Saya tak punya jawapan tapi difikiran saya terukir satu soalan. Kenapa Begitu?


Saya tanyakan sami dikuil, paderi digereja...kedua-duanya memberikan jawapan bahawa itu adalah kuasa Tuhan. Saya akui itu memang kuasa Tuhan tapi kenapa begitu? Mereka tak punya jawapan untuk soalan saya. Kemudian saya pergi ke masjid, Disitu saya disapa oleh seorang lelaki dan saya ceritakan apa yang terjadi. Yang peliknya lelaki tersebut tersenyum tapi tidak mahu menjawab soalan saya sebaliknya mengatakan dia tak layak untuk menjawab soalan saya itu walaupun dia rasa dia tahu apa yang terjadi sebenarnya. Saya dibawa kedalam masjid dan dikenalkan kepada imam dan saya ceritakan kepada imam tersebut apa yang terjadi. Imam tersebut mengatakan ketika saya terjumpa pohon kelapa itu tumbang, ia bukannya tumbang tapi sujud kebumi sebab malam tersebut adalah malam lailatul qadar. Mula-mula saya tak faham apa yang diperkatakan, kemudian imam tersebut menjelaskan segalanya pada saya. Barulah saya faham dan 2 bulan selepas itu saya menganut islam setelah saya membaca berbagai buku untuk memahami islam sebenar-benarnya. Bahkan imam yang saya jumpa pertama kali itu sekarang telah menjadi guru saya. 


Terima Kasih Allah kerana Nur Mu


Wasalam Nek


Friday, 30 September 2011

Akibat ' Black Magic'

Salam nek, saya nak syer cerita dengan nenek sikit. Kisah ni berlaku lebih kurang 20 tahun yang lepas. Ketika tu umur saya diawal 20-an. Saya bekerja di satu pulau di dalam negara ini, Kerja dibahagian perlancongan. Saya bekerja disitu lebih kurang 4 tahun. Mula-mula saya mengutarakan pada ibu untuk bekerja di pulau x, keluarga saya menasihati saya supaya berhati-hati kerana setahu mereka penduduk di pulau x masih mengamalkan sihir atau ' black magic'. Saya anggukkan kepala aje supaya tak mengecilkan hati ibu dan ayah saya sebab saya tidak mempercayai perkara yang saya kategorikan sebagai tahyul ini.

Oleh sebab sifat saya yang mudah mesra, saya ada kakak dan abang angkat disana. kakak angkat saya (kak K) seorang wanita yang sudah bekeluarga (bersuami dan anak empat) sementara abang angkat saya (abang M) masih solo. Suami Kak K amat menyayangi Kak K ini dan ini tak mengherankan saya sebab wajah Kak K yang sentiasa senyum, manis dan berseri-seri selalu. Satu hari saya bertanya pada Kak K apakah yang dipakai olehnya yang membuatkan wajahnya sentiasa berseri-seri. Kak K tersenyum dan mengatakan beliau mengamalkan seri muka dan dengan iklas hatinya Kak K memberikan saya ayat yang selalu dibacanya.

Setelah mengamalkan ayat tersebut dalam masa 2 bulan ramai yang memuji wajah saya sekarang dan saya mulai taksub dengan ayat-ayat tersebut. Dari jampi penyeri muka sehingga jampi penggoda semuanya saya belajar. Saya cuba keberkesanan setiap jampi-jampi yang Kak K ajarkan. Saya tukar kekasih hampir 2 bulan sekali. Ada yang sampai merayu-rayu supaya jangan tinggalkan mereka tapi saya tak peduli. Saya bosan ada kekasih yang menelefon saya 15min sekali sewaktu saya bekerja, maka saya tinggalkannya.

Disatu petang Kak K membawa saya ke kebun durian kawannya yang dikenali sebagai Kak J. Orangnya awal 50-an tapi apa yang mengejutkan saya suaminya agak muda lebih kurang 30-an dan  tampan orangnya. Suaminya tidak memandang kami semasa berbual sebaliknya hanya menunduk aje. Dalam hati saya berkata baiknya suami Kak J ini. Untung Kak J, dapat suami handsome dan muda tapi tak memandang wanita lain, saya memuji kak J dan beliau hanya tersenyum mendengar pujian dari saya itu.

Nak dijadikan cerita, 2 bulan selepas berjumpa dengan Kak J saya dikejutkan dengan berita beliau telah pulang ke rahmatullah. Sebagai orang yang mengenali Kak J saya dengan Kak K pergilah melawat dan menghantar jenazahnya hingga ke tanah perkuburan. Ketika dirumah tadi, cuaca yang pada mulanya terang benderang bertukar mendung ketika kami sampai ketanah perkuburan. Dikhuatiri hujan maka pengkebumian jenazah tersebut cuba disegerakan dengan secepat mungkin. Sedang 3 orang didalam liang lahat sedang mengisi tanah disekeliling jenazah sementara suaminya menghulurkan tanah dari atas, tiba-tiba anaknya berlari-lari datang kearahnya dan berbisik-bisik sesuatu kepada suami Kak J.

Suami Kak J seperti terkejut malahan skop ditangannya juga terlepas dan kelihatan beliau ingin memusingkan badannya tiba-tiba ada tangan yang memegang kedua-dua kakinya dari liang lahat. Semua orang yang ada bertaburan kerana terkejut dan ketakutan dan saya dan Kak J tidak boleh bergerak. Seakan-akan kaki kami dipateri ke bumi, saya melihat wajah Kak J yang pucat lesi dan saya rasakan wajah saya juga begitu. Jelas kelihatan jenazah tersebut tergantung dan tidak jejak kebawah dan dengan mata terpejam. Orang ramai cuba melepaskan pegangan tersebut namun tindakan mereka itu sia-sia-sia belaka. Berbagai usaha telah dibuat tapi pegangan tersebut amat kuat untuk dileraikan oleh tenaga manusia.. Lama keadaan itu berlaku akhirnya kedengaran suara imam

" Aku rasa isteri kamu ingin memaafkan kamu dan aku tak tahu apakah dosanya kepada kamu tapi aku harap kamu maafkanlah dirinya". Tiada sepatah perkataan yang keluar dari mulut suami Kak J dan orang yang lari pada mulanya mulai datang kembali dan melihat apa yang berlaku.

" Maaflahkan isteri kamu ini, tiada kesudahannya kita berdiri disini, dan dia tak akan lepaskan kaki kamu jika kamu tak maafkan dirinya. Baik kita segerakan jenazahnya, biar Allah yang menguruskan yang lain. Kita cuma makhluknya yang lemah" Imam bersuara lagi memujuk suami Kak J sementara anak-anak Kak J menangis sambil memujuk ayah mereka supaya memaafkan dosa mak mereka.

" Baiklah aku maafkan kau" sebaik perkataan itu terluncur dari bibir suaminya, jenazah tersebut jatuh keliang lahat seperti buah nagka yang jatuh aje bunyinya. Jenazah dikebumikan dan ditalkin dengan segera tapi suami Kak J telah meninggalkan tanah perkuburan itu selepas dia mengucapkan pengucapan maaf tadi. Gempar satu kampung berkenaan hal ini dan akhirnya ceritanya terbongkar pada malam kenduri arwah pada malam itu. Anaknya menceritakan, ketika dia ingin memasak nasi dan lauk, beliau mencari periuk dibawah para dan beliau terjumpa 'pad-pad' yang telah digunakan ada didalam periuk tanah dan yang paling memeranjatkan beliau terjumpa 'pad' yang dipenuhi dengan kuah kari dan kari ayam adalah lauk yang mereka makan tengahari semalam. Semua orang yang mendengar cerita tersebut dan merasa terperanjat.

Sebulan selepas peristiwa tersebut saya meninggalkan Pulau x termasuk dengan jampi-jampi yang saya pelajari. Saya bertaubat tidak akan membaca jampi serapah lagi dan telah berubah. Takut saya azab dari Allah...

Friday, 23 September 2011

Monyet Di Hutan Disusukan, Anak Dirumah Mati Kelaparan

Assalamualaikum nek...
Tertarik dengan email-email yang nenek paparkan di blog nenek buat saya terpanggil untuk menghantar email buat nenek( harap nenek tak marah saya panggil nenek). Saya nak cerita dengan nenek satu kisah, bukan nak menyebarkan fitnah dan jauh sekali untuk memburukkan orang, cuma harap ianya dijadikan iktibar bagi sesiapa saja yang membacanya. Begini ceritanya, nek.

Dikampung saya ada seorang wanita yang kami semua panggil kak zah.  Umurnya kalau tak silap saya awal 50-an, belum berkawin, tinggal seorang diri di rumah pusaka keluarganya. Kalau dilihat pada wajahnya sekarang saya rasa tentunya dia seorang yang agak cantik semasa mudanya. Orangnya tinggi, berkulit cerah serta bertudung. Saya jarang melihat ahli keluarganya datang melawatnya. Kalau saya balik bercuti, tak kiralah raya atau apa-apa cuti pun hanya terlihat abangnya yang tinggal dikuala lumpur balik menjenguknya. Itupun balik seorang. Setau saya adik-beradik kak zah ni ramai dan kak zah ni adik yang bongsu. Anak-anak saudaranya pun sudah besar panjang.

Disebabkan sifat ingin tahu ataupun sikap busy body yang ada dalam diri saya, saya bertanya pada kawan saya yang tinggal sekampung perihal kak zah. Menurut ceritanya, Kak zah ni mempunyai keluarga yang besar. Ada adik-beradik satu ayah (agak berada) dan adik-beradik satu ibu (kurang berada). Adik beradik satu ayah dengan kak zah tinggal berjauhan dari kak zah sementara adik-beradik satu ibunya pula tinggal dalam kampung yang sama. Sewaktu kak zah muda (Ibunya pun masih hidup lagi ketika itu), dia tak bekerja tapi menjaga anak-anak jirannya (3 budak(adik-beradik)).

Kak zah ni seorang yang pilih kasih. Kak Zah lebih baik dengan adik beradik sebelah ayahnya berbanding dengan adik beradik sebelah ibunya. Bukan setakat adik-beradik sebelah ibunya kurang dilayan olehnya tapi anak-anak kepada mereka pun menerima nasib yang sama. Lebih memburukkan lagi kak zah lebih sayangkan budak-budak yang dijaganya malah hubungannya dengan keluarga budak-budak yang dijaganya itu lebih baik dari adik beradiknya sendiri.

Jika pada waktu makan, budak yang dijaganya dan anak-anak saudaranya ada dirumahnya pada waktu yang sama. Kak zah akan melayan budak yang dijaganya tanpa menghiraukan anak-anak saudaranya. Makan budak itu berhidang sedangkan anak2 saudaranya mengambil makanan sendiri di dapur sambil dilayan oleh nenek mereka. Walaupun budak yang dijaga itu dah besar dan ibu-bapanya tidak lagi mengupah kak zah untuk menjaga anaknya tetapi anak-anaknya tetap pergi kerumah kak zah untuk makan dan lain-lain.

Jika anak saudaranya melihat tv pasti kak zah bising mengatakan bayaran elektrik akan banyak tetapi jika budak yang pernah dijaganya berbuat demikian, dia tak berkata apa-apa malahan tolong menemankan budak tersebut melihat rancangan yang ditayangkan di tv. Sampaikan budak itu berakpun kak zah basuhkan. kalau budak itu bersama ibubapanya, tau pula dia basuh berak sendiri. Lagipun budak itu dah berusia 14tahun. Kenapa kak zah perlu melayan sampai tahap macam tu. (Budak ini doktor kategorikan down sindrom tapi boleh bezakan yang mana baik dan yang mana tidak cuma IQ aje agak lemah). Sikap kak zah ini sudah banyak kali ditegur oleh ibunya dan abangnya tapi kak zah buat tak tau aje.

Dulu semasa hayat arwah neneknya, kak zah yang menjaganya tapi setiap kali masa untuk memandikan atau makan mesti kak zah bising. Tangannya buat kerja tapi mulutnya pun selincah tangannya. Bukan setakat itu, dengan mukanya pun masam mencuka dan tapak kaki yang dihentak kuat ke lantai. Nasib baiklah kak zah tinggal rumah batu.Ibunya tau kak zah memprotes tapi apa yang boleh dia buat, dia tak mampu untuk menguruskan mandi, makan minum maknya sebab diapun dah tua.

Bila ibunya meninggal, adik-beradik satu ayah dengannya sudah jarang melawatnya dan adik-beradik satu ibu dengannya pula sudah berpindah ketempat lain dan melawatnya bila ada waktu terluang saje. Tapi akhir-akhir ini tiada nampak keluarga baik adik-beradik sebelah ayah atau adik-beradik sebelah ibunya balik melawatnya walaupun ketika raya baru-baru. Ketika ibunya masih hidup, ketika raya menjelang pasti penuh depan rumahnya dengan pelbagai jenis kereta mewah. Namun sekarang, rumah tersebut sunyi sahaja. Kak zah hidup bagai sebatang kara. Kak Zah pernah menyatakan keluhannya pada kawan saya, katanya "kenapalah anak-anak saudaranya sisihkan dia, sedangkan dia tak buat apa-apa".

Balasan anak yang pernah menyisihkan ibu sendiri

Petang tadi rumah saya dikunjungi oleh nenek saudara sebelah ibu saya. Bila ternampak aje wajah saya beliau terus menangis teresak-esak. Saya tanya beliau apa yang terjadi, katanya anak lelaki kesayangannya tidak mempedulikannya lagi. Maka saya bertanya lagi, kenapa boleh jadi macam tu. Dengan air mata yang masih mengalir, beliau bercerita pada saya.
" Sejak Am kawin dia tak pedulikan tok cu dah. Isteri dia tak bagi jenguk tok cu. Sampaikan kalau dia tau tok cu kat rumah mak alang kau, dia tak akan pergi rumah mak alang kau tu walhal kalau tok cu tak ada kat situ, itulah tempat tidur baring dia sementara tunggu bini dia balik dari mengajar."

" takkanlah macam tu tok cu, isteri dia kan cikgu sekolah agama. mungkin ada salah faham agaknya" kata saya untuk menyejukkan hati tua tersebut.

sambung tok cu lagi " tak adanya salah faham. Am tu bukan setakat raya balik rumah mak bini dia, hampir setiap bulan balik ke kampung bini dia. sedangkan aku ni tinggal sekampung pun tak dijengahnya. Masa kecik dulu, kemain payah nak berenggang dengan aku. sampai dah lepas SPM pun asyik berkepit dengan aku. Kalau berjalan dengan aku, mesti baju aku dipegangnya. Dulu semua orang cakap, beruntung aku sebab dapat anak yang sayangkan aku. Sekarang, hanya Tuhan yang tau." saya hanya diam, tak tau apa nak cakap.

Setelah menghirup kopi yang saya hidangkan. tok cu bersuara.
" Mungkin ini balasan kepada tok cu agaknya"

" Kenapa tok cu cakap macam tu?" tanya saya

" Yealah dulu masa arwah mak tok cu masih hidup, tok cu tak pedulikannya. Tok cu sibuk melayan suami dan anak-anak tok cu aje tanpa mempedulikan perasaan mak tok cu. Tok cu jarang menjengah mak tok cu walaupun jarak rumah tok cu bukannya jauh dari rumah mak tok cu tu. Adalah 5 minit kalau berjalan kaki."

" Disebabkan tok cu jarang menjenguk mak tok cu. Abang atau kakak tok cu akan datang kerumah minta untuk tok cu datang menjenguk mak tok cu. Tapi tok cu tak pernah ambil pusing dengan permintaan mereka. Sekarang barulah tok cu rasa bagaimana perasaan mak tok cu ketika itu" kata tok cu sambil mengesat air matanya yang kembali tumpah

Nak mengiakan apa yang tok cu cuma akan membuatkan beliau bertambah sedih. Apa yang boleh saya buat adalah memberi sokongan dan meminta beliau berdoa semoga dosanya diampunkan oleh Allah dan memohon supaya anak lelakinya itu berubah.

* Ini adalah email yg dihantar kepada saya dan penghantar email telah membenarkan saya untuk menyiarkan kisah ini untuk dijadikan pengajaran. Nama telah diubah

Thursday, 22 September 2011

Anak Angkat Tak Pedulikan Ibubapa Kandung Sendiri

Seminggu lepas ketika berjalan-jalan di pasar malam saya terjumpa dengan seorang kenalan lama. Beliau bersama isterinya dan Hani anak perempuannya Disebabkan sudah lama tidak berjumpa saya mengajak mereka berbual sambil minum kopi dan mereka bersetuju dengan cadangan saya itu. Setelah bertanya khabar berbual seketika, mulut saya ni gatal pula bertanya perihal salah seorang anak perempuan mereka yang telah diberikan kepada orang untuk dijadikan anak angkat lebih 30 tahun lepas. Air muka kedua mereka terus berubah sedih dan saya rasa bersalah dan menyesal kerana menanyakan soalan tersebut. Untuk menutup kesedihannya saya bercerita tentang kisah lama yang membuatkan mereka tersenyum lebar akhirnya.

Kemudian beliau membuka cerita. Pada hari raya yang lepas ni beliau bersama isteri dan Hani pergi kerumah ibubapa angkat anaknya (Saya namakan Huda selepas ini). Disitu mereka bertemu dengan Huda. Huda kelihatan terkejut dan tidak senang dengan kehadiran beliau tiga beranak. Usahkan nak meminta maaf, layan pun macam layan tetamu yang tak dikenali aje. Sedangkan sejak dari kecil lagi Huda dah diberitau oleh keluarga angkatnya bahawa kedua merekalah ibubapa kandungnya. Beliau menyerahkan Huda kepada orang lain kerana kesempitan hidup bukan sebab beliau suami isteri tak sukakan Huda. Almaklumlah, beliau dulu seorang nelayan, anak pula ramai dan bukan Huda seorang yang diberikan kepada orang lain untuk dibela tetapi 3 orang dari anaknya. Dua anaknya yang diberikan kepada orang lain ada melawatnya sekali sekala. Hanya Huda yang tak pernah berbuat demikian.

Beliau tak pernah salahkan Huda kerana bersikap demikian. Padanya, mungkin Huda masih terasa hati kepada mereka suami isteri kerana memberikan dirinya kepada orang lain ataupun Huda malu kerana mereka orang miskin bukan seperti keluarga angkat Huda yang kaya raya. Cuma beliau kesian dengan isterinya, isterinya selalu menangis kalau teringatkan Huda. Walaupun dalam keadaan yang cuba berselindung saya dapat lihat isterinya mengelap airmata yg turun dari bibir matanya. Ketika beliau memberi Huda kepada orang lain untuk dijadikan anak angkat, isterinya bentan sebab terlalu banyak menangis sebab tindakan beliau itu. Beliau tak tahu bagaimana untuk memujuk Huda untuk melawat ibunya sekali-sekala atau sekurang-kurangnya memaafkan mereka suami isteri sebab tidak membelanya.

Hani yang sedari tadi hanya mendiamkan dirinya, mencelah perbualan kami dan apa yang diperkatakan amat mengejutkan saya sama sekali.
 "Kakak tu bukannya tak maafkan ayah atau mak tapi kakak tu sombong sebab ibubapa angkatnya orang kayalah makcik"

Kenalan saya itu menegur Hani dan mengatakan apa yang disuarakan itu tidak baik tetapi Hani tetap bersuara,
"Maaflah ayah, mak. Hani x boleh diamkan diri lagi. Hani bukan tak suka kakak tapi Hani tak suka sikap kakak tu. Harap aje pakai tudung labuh tapi sombong. Dari masa sekolah lagi Hani tahan aje. Bila Hani terserempak dengan kakak dulu, kakak selalu cakap Hani bukan adik dia dan tak layak jadi adik dia. Dia anak orang kaya sedangkam Hani anak orang miskin. Semua pelajar kat sekolah tau, kakak memang sombong walaupun kakak anak angkat. Kakak tak banyak kawan kat sekolah. Dahlah umur 30 lebih, kawin pun tak lagi, orang takut kot, sebab sombong sangat. Hani cuma rasa geram dengan perangai kakak. Maaflah Ayah, Mak, Makcik. Hani minta diri dulu, Hani nak beli barang kat sana" Hani terus meninggalkan kami  dan hilang dicelah-celah pasar malam disitu.

Habis saja Hani bersuara tadi hinggalah kenalan saya memohon diri untuk balik, suasana senyap seperti tiada apa yang nak dibualkan. Mungkin kenalan saya dan isterinya sedih dengan apa yang kami bualkan tadi. Saya juga tak sangka Huda bersikap begitu. Cuma saya berharap Huda akan berubah satu hari nanti. Insya-Allah

* Ini adalah email yg dihantar kepada saya dan penghantar email telah membenarkan saya untuk menyiarkan kisah ini untuk dijadikan pengajaran. Nama telah diubah